KUALA LUMPUR 4 April - Orang ramai boleh menyemak sama ada sesebuah perniagaan telah berdaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di bawah Akta GST 2014 dengan pantas dan mudah di portal www.customs.gov.my, menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan mengenai cara membuat semakan untuk mengesahkan sama ada restoran atau perniagaan yang telah mengenakan GST merupakan perniagaan yang sah.
Semakan berkenaan boleh dibuat dengan hanya menekan ikon "TAP TAXPAYER ACCESS POINT' di portal tersebut sebelum menekan "Lookup GST Status" di ruangan "SEARCH", katanya.
Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai cara semakan, jabatan itu berkata, pada ruangan "GST No.", masukkan 12 digit nombor pendaftaran GST atau ID GST seperti mana yang tercatat pada bil atau 'Tax Invoice' yang dikeluarkan oleh restoran atau peniaga.
Skrin kemudiannya akan memaparkan maklumat "GST Number", "Taxpayer Name", "Commence Date" dan "Status".
Jika ruangan "Status" memaparkan "No Registrants Found", ia bermakna restoran atau perniagaan berkenaan tidak berdaftar GST dan tidak boleh mengenakan GST kepada pelanggan.
Jika ruangan "Status" memaparkan "ACTIVE", ia bermakna restoran atau perniagaan berkenaan telah berdaftar GST dan berhak mengenakan GST kepada pelanggan, katanya.
Jabatan itu juga mengingatkan orang ramai agar memastikan nama perniagaan yang terpapar pada ruangan "Taxpayer Name" adalah sama dengan nama sebenar restoran atau perniagaan yang mengeluarkan bil atau Tax Invoice tersebut.
Katanya, ini kerana terdapat kes peniaga yang tidak berdaftar GST telah mencetak nombor pendaftaran GST milik perniagaan lain yang telah berdaftar GST bagi tujuan penipuan.
Sebarang aduan berkaitan GST boleh dikemukakan di mana-mana Pejabat Kastam berhampiran, atau menghubungi talian 1-300-888-500, atau membuat laporan secara online melalui "Aduan GST" di halaman utama Portal Kastam www.customs.gov.my.
-- BERNAMA
没有评论:
发表评论